Thursday 19 September 2013

7 Pembangunan Yang Luar Biasa Di Malaysia



Di Malaysia terdapat beberapa buah struktur binaan luar biasa sehingga ada yang menganggap ia sebagai salah satu keajaiban di negara. Binaan yang dimaksudkan adalah seperti binaan Menara KLCC, KLIA dan sebagainya.

Menyentuh isu struktur dan seni bina, kita tidak dapat lari daripada membicarakan mengenai tujuh perkara ajaib di dunia. Bagaimanapun, mungkin tidak ramai daripada kita yang sedar, negara kita juga mempunyai tujuh seni bina ‘ajaib’. Sebenarnya artikel ini tidak merujuk mana-mana pengiktirafan, akan tetapi ia adalah antara binaan yang luar biasa terdapat di Malaysia. Selain itu mungkin terlalu jauh untuk kita bandingkan dengan tujuh keajaiban yang terkenal di dunia, tetapi sebagai sebuah negara yang masih muda, Malaysia patut berbangga kerana mempunyai struktur-struktur binaan yang menakjubkan.

Antara tujuh struktur binaan yang boleh dikategorikan sebagai sesuatu yang menakjubkan di negara ini ialah:

1. Menara berkembar Petronas (KLCC)
2. Menara KL
3. Putrajaya
4. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
5. Jambatan Pulau Pinang
6. Bangunan Sultan Abdul Samad
7. Menara condong Teluk Intan

1.Menara berkembar Petronas (KLCC)



Apa: Bangunan berkembar yang menjadi salah satu daripada kebanggaan rakyat Malaysia ini memuatkan pejabat dan juga pusat membeli belah tumpuan ramai.

Kedudukan: Di tengah bandar raya Kuala Lumpur

Fakta: Bangunan ini direka bentuk oleh Ceasar Pelli, hasil ilham dari bentuk geometri Islam. Bangunan ini diperbuat daripada konkrit, besi dan kaca. Bangunan setinggi 452 meter ini merupakan bangunan kembar tertinggi di dunia dengan 88 tingkat bagi setiap bangunan. Bangunan ini disambung di tengahnya oleh sebuah jambatan.

Menakjubkan: Menara berkembar ini dilengkapi dengan 32,000 buah tingkap, 29 buah lif laju dan 10 buah tangga bergerak di setiap bangunan.

2.Putrajaya



Apa: Pusat pentadbiran kerajaan bercirikan bandar dalam taman dan bandar pintar

Kedudukan: Meliputi kawasan seluas 4,581 hektar di Prang Besar, Sepang, Selangor.

Fakta: Mula dibina pada 16 April 1995. Fasa pertama pembinaannya termasuk Pejabat Perdana Menteri siap pada tahun 2000. Pembinaan Putrajaya dijangka siap sepenuhnya dalam jangka masa 15 tahun bermula tahun pembinaanya pada 1996. Kawasan ini dibahagikan kepada dua kawasan utama iaitu kawasan pusat dan kawasan persekitaran. Kedua-dua kawasan ini dipisahkan oleh sebuah tasik besar. Kawasan pusat menempatkan pejabat-pejabat kerajaan yang dibahagikan kepada lima prisin iaitu prisin kerajaan, komersial, sivik dan kebudayaan, pembangunan bercampur dan sukan serta rekreasi. Kawasan persekitaran pula mempunyai 14 kawasan perumahan.

Menakjubkan: Apabila siap sepenuhnya, Putrajaya dijangka akan mempunyai 67,000 buah rumah di sekitarnya dengan populasi 330,000 orang.

3.Menara Kuala Lumpur



Apa: Menara keempat tertinggi dunia dan yang tertinggi di Asia Tenggara

Kedudukan: Bukit Nanas, Kuala Lumpur

Fakta: Menara Kuala Lumpur yang mengambil masa pembinaan empat tahun bermula pada 1992 ini direka bentuk khusus supaya dapat menahan kelajuan dan tekanan angin sehingga 144.5 km sejam. Berat keseluruhan menara konkrit ini ialah 100,000 tan dengan ketinggian 421 meter. Ia dibina menggunakan 45,000 meter padu konkrit kukuh dan 1,300 struktur keluli. Menara ini mempunyai 2,058 anak tangga.

Menakjubkan: Lif di bangunan ini mempunyai kelajuan sehingga 9.6 km/saat dan ia mampu sampai ke menara dalam masa kurang daripada seminit iaitu lebih kurang 54 saat.

4.KLIA




Apa: Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ini adalah antara lapangan terbang terbesar dan termaju di dunia.

Kedudukan: Kira-kira 50 kilometer di selatan Kuala Lumpur dan meliputi kawasan seluas 10,000 hektar.

Fakta: KLIA yang disiapkan dalam jangka masa yang singkat iaitu empat setengah tahun ini melibatkan 25,000 tenaga kerja dengan kos RM13.3 bilion. Lapangan terbang ini mempunyai 46 pintu jejantas aero, dua landasan tercanggih dan 106 stesen kapal terbang berbanding Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang mempunyai hanya 14 jejantas aero dan 44 stesen kapal terbang. Dinding bangunan KLIA bukan diperbuat daripada batu bata seperti sebelum ini, sebaliknya daripada besi geometri yang menampung kaca bagi membolehkan pemandangan dapat dilihat dari luar tanpa sebarang gangguan.

Menakjubkan: Terdapat kira-kira 1,300 kamera televisyen keselamatan di seluruh lapangan terbang ini.

5.Menara Condong Teluk Intan



Apa: Menara jam yang dibina oleh seorang kontraktor, Leong Chonn Chong pada tahun 1885 dengan tujuan asal menyimpan air.

Kedudukan: Di tengah-tengah bandar Teluk Intan, Perak.

Fakta: Bentuknya seperti sebuah pagoda. Dari luar ternampak seolah-olah menara ini adalah bangunan lapan tingkat, tetapi sebenarnya hanya terdapat tiga tingkat sahaja. Di tingkat atas sekali terletak tangki air yang boleh memuatkan 19.26 meter padu air. Ketika dibina pada tahun 1885, ia dikenali sebagai Jam Tinggi kerana memiliki sebuah jam yang masih berperanan sehingga kini. Bagaimanapun, apabila bangunan ini telah condong sedikit ke arah barat laut, ia mula dikenali sebagai Menara Condong. Bangunan ini memiliki 110 anak tangga yang menghubungkan setiap aras yang tingginya 4.6 meter. Struktur bangunan ini dibuat daripada batu dan kayu dan setiap tingkat dilengkap dengan lorong jalan kaki. Lapisan bawah bangunan ini berukuran garis pusat 12.9 meter 43 kaki dan menguncup ke atas 8.1 meter.

Menakjubkan: Kerana keunikannya, Menara Condong Teluk Intan ini juga dikenali sebagai Menara Condong kedua di dunia selepas Menara Pissa di Itali.

6.Jambatan Pulau Pinang




Apa: Sebuah jambatan yang menghubungkan tanah besar semenanjung dengan Pulau Pinang. Jambatan ini merupakan salah satu mercu tanda kebanggaan negara dan merupakan salah satu daripada jambatan yang terpanjang di Asia.

Kedudukan: Antara Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Fakta: Hasrat untuk membina jambatan sepanjang 13.5 km ini telah mula diilhamkan sejak tahun 1971 lagi. Setelah beberapa rundingan dilakukan, jambatan yang mula dibina pada 1982 dengan kos RM850 juta ini menjadi kenyataan pada September 1987. Pembinaanya dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia. Rentang utamanya sepanjang 225 meter dibina menggunakan kaedah cable stayed girder. Lokasi tertingginya dari paras laut ialah 32 meter. Jambatan ini dibina dengan empat lorong dan dilebarkan kepada enam lorong di bahagian rentang utamanya. Jambatan ini mempunyai dua buah persimpangan bertingkat dan sebuah tol plaza.

Menakjubkan: Jambatan ini boleh menampung 100,000 kenderaan sehari.

7.Bangunan Sultan Abdul Samad




Apa: Bangunan utama yang didirikan di Kuala Lumpur yang ketika itu hanya mempunyai rumah-rumah kedai yang kecil. Bangunan ini kini menempatkan Mahkamah Persekutuan Malaysia, Mahkamah Rayuan dan Bahagian Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kedudukan: Jalan Raja, Kuala Lumpur

Fakta: Bangunan ini meliputi dua bangunan berkembar dengan ketinggian 17.1 meter dan meliputi 10,200 meter persegi. Pembinaannya mengambil sempena nama Sultan Selangor keempat iaitu Sultan Abdul Samad yang memerintah ketika itu (1859 – 1898). Bangunan ini dilengkapi dengan menara berkubah tembaga dan mempunyai menara jam setinggi 130 meter.

Menakjubkan: Sebuah kilang telah diwujudkan khusus bagi membekalkan empat juta bata merah dan juga bahan-bahan pembinaan lain seperti kayu, simen, batu kapur, tembaga dan besi untuk membina bangunan ini.





No comments:

Post a Comment